MICHAEL JACKSON



SUMBER DARI: BERITA HARIAN
25/10/2009

JACKO HEBAT KERANA AKSI DI PENTAS, IMEJ YANG UNIK

MEMANG seluruh dunia terkejut dengan kematian mengejut Raja Pop Dunia, Michael Jackson atau Jacko pada 25 Jun lalu. Berita mengejutkan ini mula diketahui masyarakat di Malaysia pada pagi 26 Jun lalu, seawal jam 6 pagi kerana berita kematian itu adalah kejutan terakhir yang dibuat penyanyi itu selama dalam kerjayanya beliau memang sering muncul dengan banyak berita mengejutkan kerana sikapnya yang pelik dan kehidupannya yang misteri dan diibaratkan sebagai 'kaya dalam sengsara'.

Ramai peminat setianya di luar negara menangisi pemergian Jacko. Mereka menyayangi Jacko mengalahkan sayangnya mereka pada ahli keluarga sendiri hinggakan kematiannya diratapi dan ditangisi, ramai menangis dan ramai juga yang sedih sampai ke hari ini. Namun, Jacko sudah pergi buat selama-lamanya dan tidak mungkin ada lagi pengganti yang akan mencapai taraf sehebat beliau sebagai penyanyi yang ada gaya tersendiri, lincah di pentas dengan aksi persembahan memukau dengan tarian moonwalk dan ala robot.

Jika kita menganalisis semula kehebatan Jacko, sebenarnya beliau bukannya hebat dan begitu bagus menerusi vokal yang unik atau ‘bersuara emas’ seperti kebanyakan penyanyi lelaki lain yang jauh lebih sedap dan mempesonakan dari segi vokal. Jacko juga bukannya ada terlalu banyak lagu yang membuai perasaan atau lagu yang begitu indah dan menusuk di sanubari kita sebagai pendengar. Ada berapa kerat saja lagunya yang boleh dianggap sebagai bermutu termasuk tiga lagu hit beliau - Beat It, Billie Jean dan Thriller. Lagu lain sekadar boleh tahan dan agak menarik dan biasa-biasa saja.

Namun, kekurangan vokal Jacko itu sebenarnya ditutup dengan kehebatan Jacko beraksi apabila membuat persembahan pentas untuk mendendangkan rangkaian lagunya. Cara beliau menari, beraksi lincah dan bergaya dengan gerak tari yang segar, bertenaga dan rancak akan membuatkan siapa saja yang tidak minat lagunya pun akan boleh terpesona dan tertarik untuk mengikuti persembahannya. Maknanya, Jacko bijak untuk menutup kekurangannya itu dengan pandai beraksi dengan gaya lincah yang cukup menghiburkan penonton apatah lagi aksinya memang unik, membuai dan mengasyikkan apabila menontonnya.

Seperkara lagi, pemerhatian dan pengamatan mendapati kehebatan Jacko di pentas mahupun di luar pentas kerana penampilannya yang unik dari segi imej pada fizikal. Imejnya pada paras rupa, gaya rambut, cara beliau berkomunikasi dan gesture beliau ketika memberikan ucapan atau bertemu peminat membuatkan dia memang ada aura tersendiri. Jacko memang bijak bermain dengan stylization.

Imej pada pakaiannya juga menyerlahkan lagi kelainan pada penampilannya sama ada di pentas atau apabila dia muncul di mana-mana acara rasmi mahupun ketika membuat lawatan atau promosi ke sesuatu tempat. Apabila Jacko muncul, dia akan tampil dengan baju yang unik, seperti jaket bersulam, berkilat, ada hiasan pada dada seperti kerongsang atau apa saja yang dilekatkan pada jaketnya, lilitan lengan, bersarung tangan, membalut jari, pakaian ala uniform pasukan keselamatan dan sebagainya yang memang kreatif rekaannya. Imej pakaiannya itu yang menambahkan lagi seri pada lagak penampilan Jacko. Sekalipun dia berpakaian ringkas seperti baju T dan berseluar jeans tetapi potongan baju dan seluarnya itu yang nampak menarik dan cukup sesuai dengan ketinggian tubuhnya, 177 sentimeter.

Kelebihan inilah yang membuatkan penampilan Jacko memang lagak seorang superstar yang hebat dan sukar dibandingkan dengan penyanyi lelaki lain.

Kematian Jacko adalah tragedi dalam industri muzik dunia. Satu pengajaran yang diperoleh ialah ketika dia berada di puncak kejayaan kariernya, beliau cukup disanjung tinggi dan dilimpahi kemewahan tetapi pada penghujung usianya, beliau berdepan pelbagai masalah, hutang yang bertimbun, dituduh mencabul kanak-kanak dan bagaikan tidak dipedulikan lagi. Namun, dia disanjung semula malah jauh lebih hebat ketika hayatnya masih ada apabila dirinya sudah tidak bernyawa lagi.

Itulah selalunya nasib insan seni popular seperti mana yang pernah berlaku pada dua anak seni kebanggaan bangsa kita, P Ramlee dan Sudirman Haji Arshad.


PARTNER WEB/BLOG

google backlink checker